• Skip to main content
  • Skip to primary sidebar
  • Tentang
  • Hubungi

Forensik Siber

Blog Forensik Siber Bahasa Melayu

Kerjaya Forensik Siber di Malaysia

08.08.2019 Leave a Comment

Gambar: Datamation Systems

Kerjaya dalam bidang forensik siber di Malaysia bukanlah satu perkara yang baru. Sejak tahun 1998 lagi, negara kita telah mempunyai sebuah makmal forensik siber di bawah agensi NISER (kini digelar sebagai CyberSecurity Malaysia). Ini menunjukkan bahawa peluang kerjaya dalam forensik siber di Malaysia telah bermula sejak 20 tahun yang lalu.

Walau bagaimanapun, pendedahan tentang forensik siber pada awal tahun 2000-an sangatlah kurang dan tidak ada universiti di Malaysia yang menawarkan kursus dalam bidang ini. Namun begitu, sejak 4 hingga 5 tahun kebelakangan ini telah banyak universiti-universiti awam dan swasta yang menawarkan subjek forensik siber dalam kursus pembelajaran mereka.

Tetapi bagaimana pula dengan peluang pekerjaan dalam bidang ini? Di manakah para graduan yang mempunyai kelulusan dalam bidang ini boleh cuba untuk mendapatkan pekerjaan?

Berikut adalah di antara agensi-agensi kerajaan yang mempunyai jabatan dan pasukan forensik siber yang boleh kita cuba untuk mendapatkan pekerjaan dalam bidang ini:

CyberSecurity Malaysia (CSM) – Dengan visi sebagai Pusat Pakar dan Rujukan Keselamatan Siber pada tahun 2020, CSM merupakan sebuah agensi kerajaan yang paling lama mempunyai makmal forensik siber di Malaysia. Dengan pengalaman lebih dari 20 tahun, makmal forensik siber CSM telah banyak membantu agensi penguatkuasaan undang-undang di Malaysia. Bukan itu sahaja, makmal forensik siber mereka juga telah mendapat pengiktirafan dari American Society of Crime Laboratory Directors / Laboratory Accreditation Board (ASCLD/LAB) pada tahun 2011 dengan mengamalkan standard piawaian ISO 17025 sehingga kini.

Polis Di Raja Malaysia (PDRM) – Antara agensi penguatkuasaan yang paling lama di Malaysia. PDRM mempunyai dua makmal forensik siber yang dibahagikan kepada siasatan jenayah dan siasatan jenayah komersial. Kepakaran forensik siber mereka juga diperakui dan telah diguna pakai dalam pelbagai kes pendakwaan di mahkamah. Kes-kes yang disiasat oleh mereka adalah rumit dan kompleks kerana merangkumi pelbagai peringkat jenayah dan teknologi.

Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia (SKMM) – Merupakan sebuah agensi yang turut mengamalkan standard piawaian ISO 17025 dan mendapat akreditasi dari Jabatan Standard Malaysia. Makmal forensik siber SKMM telah ditubuhkan pada tahun 2013. Fokus utama makmal ini adalah membantu operasi SKMM dalam menguatkuasakan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 sebagai badan pengawal selia dalam industri komunikasi dan multimedia di Malaysia.

Selain daripada tiga agensi kerajaan di atas, terdapat juga agensi-agensi lain yang turut mempunyai makmal dan kepakaran forensik siber mereka sendiri. Di antaranya adalah,

  • Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
  • Jabatan Kastam Di Raja Malaysia
  • Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)
  • Bank Negara Malaysia (BNM)
  • Bahagian Penguatkuasaan Farmasi (BPF)

Tetapi bagaimana pula dengan peluang pekerjaan dari syarikat swasta?

Terdapat beberapa syarikat swasta yang mempunyai makmal dan pasukan forensik siber. Di antaranya adalah Siaga Informatics, LGMS, Dell, Siemens dan banyak lagi.

Peluang pekerjaan dalam forensik siber di Malaysia adalah amat cerah dan meluas. Jadi tidak perlu risau dengan peluang pekerjaan ini apabila anda telah tamat belajar dari universiti. Apa yang penting adalah anda kena mempunyai minat dalam bidang ini dan insyaAllah anda akan menjadi seorang juruanalisa forensik siber yang berjaya di suatu masa nanti.

Filed Under: Kerjaya

Reader Interactions

Leave a Reply Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Primary Sidebar

Artikel Terkini

  • Sistem Pengurusan Kualiti dalam Makmal Forensik Siber
  • Kerjaya Forensik Siber di Malaysia
  • Perbezaan antara Forensik Siber dan Forensik Digital

Kategori

  • Kerjaya
  • Kualiti
  • Umum
  • Facebook
  • RSS
  • Tumblr

Copyright © 2026 · Forensik Siber · Log in