
Mungkin ada yang tertanya apakah perbezaan antara Forensik Siber dan Forensik Digital? Bukankah kedua-dua ini adalah benda yang sama?
Forensik Digital adalah analisa yang dijalankan terhadap sesebuah peralatan digital. Analisa itu dibuat hanya untuk peralatan digital itu sahaja dan tidak berkait dengan peralatan digital yang lain.
Manakala untuk Forensik Siber pula, skopnya lebih meluas merangkumi pelbagai media, platform dan sistem. Walaupun analisa yang dijalankan dibuat pada peralatan digital (Forensik Digital) tetapi analisa tersebut dihubungkaitkan dengan pelbagai elemen yang lain dalam mengenalpasti punca sesuatu insiden itu berlaku.
Atau kita boleh analogikan dalam Forensik Digital, kita menganalisa sebatang pokok. Kita kaji dan selidik pokok tersebut. Bagaimana bentuk kulitnya? Berapa banyakkah sumber nutrien yang diperlukan? Pencahayaan yang bagaimana yang sesuai untuk pertumbuhan? Analisa kita fokus terhadap pokok itu sahaja.
Tetapi dalam Forensik Siber pula, kita analisa sebuah hutan yang mempunyai pelbagai jenis pokok dan tumbuhan. Kita jalankan analisa terhadap keseluruhan ekosistem hutan tersebut. Bagaimana sebahagian pokok di dalam hutan itu boleh rosak diserang penyakit? Apakah hubungkait antara perubahan iklim dengan penyakit tersebut? Dan bagaimanakah cara untuk mengurangkan kesan jangkitan ini? Skop dalam Forensik Siber ini lebih meluas dan menyeluruh.
Secara ringkas, dalam analisa Forensik Siber ada elemen Forensik Digital. Tetapi dalam Forensik Digital tidak ada elemen Forensik Siber.
Leave a Reply